Perlancaran Program “Redang Reef Clean-Up” 2007

Gugusan Pulau Redang telah diwartakan sebagai salah satu pulau Taman Laut di Malaysia pada tahun 1994. Pulau Redang merupakan antara pulau yang terawal diberi perlindungan. Ini kerana keistimewaan dan pemeliharaan Pulau Redang sebagai satu kawasan sensitif alam sekitar telah lama diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.Pulau Redang dikategorikan sebagai salah satu pulau taman laut yang menarik dan ianya telah dikenali sebagai sebuah destinasi pelancongan yang utama bukan sahaja di peringkat nasional tetapi di peringkat antarabangsa.

Seperti yang tuan-tuan sedia maklum, Malaysia adalah negara yang kaya dengan pelbagai hidupan marin. Negara kita juga mempunyai pulau - pulau yang indah dan di antaranya terletak dalam negeri Terenganu sendiri iaitu Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

Tuan-tuan & para hadirin sekalian

Pulau Redang mempunyai banyak kawasan pantai yang menarik khususnya Pantai Pasir Panjang, Telok Dalam dan Telok Kalong di mana pasirnya putih dan halus. Kualiti air laut disekeliling Pulau Redang adalah pada tahap yang baik dan mempunyai suhu air yang selesa di mana ia merupakan satu tarikan utama untuk pelancong melakukan aktiviti snorkelling dan scuba-diving.

Pulau Redang juga mempunyai pelbagai spesies batu karang yang unik dan cantik. Terdapat 17 tempat selaman yang menarik di Pulau Redang seperti Pulau Kerengga, Mak Cantik dan Pulau Ekor Tebu.

Air laut di persekitaran Pulau Redang mengandungi pelbagai jenis kehidupan marin yang unik dan bernilai. Pantai Chagar Hutang, Pantai Mak Kepit dan Pantai Mak Simpan di Pulau Redang merupakan tempat pendaratan dan pembiakan Penyu Agar dan Penyu Karah.

Jangkaan Purata penetasan tahunan penyu Agar daripada 10 tahun dahulu adalah sebanyak 2,945 setahun iaitu lebih kurang 38% daripada jumlah penetasan pada tahun 1956.

Tuan-tuan & para hadirin sekalian

Berdasarkan laporan status terumbu karang pada tahun 2000 di Pulau Redang sendiri mempunyai 149 spesies dan 209 spesies ikan. Lebih kurang purata 43.7% litupan terumbu karang pada kedalaman 7 hingga 10 meter terdapat di pulau ini.

Hidupan marin ini merupakan penghias lautan. Keprihatinan kita terhadap habitat mereka akan memberi kebaikan kepada manusia semula.

Tuan-tuan & para hadirin sekalian

Kawasan marin merupakan kawasan yang amat penting sejak zaman dahulu kala lagi. Ia merupakan kawasan pengangkutan, perhubungan dan perdagangan yang amat penting; sumber ekonomi dan protein manusia; dan pada masa kini, kawasan tumpuan pelancong.

Selain itu, kawasan marin juga adalah penting dari segi ekologi, sebagai contoh, kawasan santuari hidupan-hidupan laut, tempat pembiakan dan pembesaran kepada banyak spesies penting, penunjuk biologi untuk pencemaran, dan habitat-habitatnya seperti terumbu karang, hutan bakau, dan rumput laut adalah pencegah fenomena semulajadi seperti tsunami, ribut dan hakisan pantai.

Pengumpulan maklumat berhubung ekosistem marin amat penting dalam memastikan pengurusannya adalah terjamin. Program sebegini boleh dijadikan sebagai platform untuk pengumpulan dan penyebaran maklumat terkini berhubung ekosistem yang tidak ternilai ini.

Tuan-tuan & para hadirin sekalian

Kita sedar betapa besarnya kepentingan terumbu karang ini. Namun begitu, sikap tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat membuang sampah, merosakkan terumbu karang secara langsung mahupun tidak langsung akan menyebabkan khazanah kita yang tidak ternilai ini musnah dan mungkin hilang daripada muka bumi ini.

Oleh itu,diharapkan melalui program REDANG REEF CLEAN UP 2007, ia akan menjadi satu budaya bagi kita agar kita dapat bersama-sama menjaga kebersihan alam sekitar bukan sahaja terhad kepada kawasan daratan tetapi juga kawasan terumbu karang yang menjadi khazanah kita yang wujud sejak dahulu lagi dan perlu sentiasa kita pelihara. Program seperti Ini patut diteruskan dan tidak berakhir pada hari ini sahaja.

Sehubungan dengan itu, satu cadangan program jangka masa panjang telah diusulkan hasil kerjasama antara TREVICOSTA, Jabatan Taman Laut Malaysia serta Persatuan Pengusaha-Pengusaha Resort Redang yang menitikberatkan elemen pemuliharaan dan kesedaran berkenaan ekosistem terumbu karang serta peningkatan keberkesanan pengurusan bagi Taman Laut Pulau Redang.

Dia antara aktiviti - aktiviti yang akan dirangcangkan melalui program yang dicadangkan ini merangkumi aktiviti berterusan untuk pembersihan dasar laut dan program kesedaran kepada penduduk tempatan, pelancong dan juga pengusaha-pengusaha resort serta pemantauan dan pengawasan secara bersepadu. Selain daripada itu, satu modul latihan akan dilakukan kepada pengusaha-pengusaha resort di Pulau Redang dan penduduk tempatan untuk sama-sama terlibat dalam pengurusan Taman Laut Pulau Redang. Pasukan ini akan dinamakan sebagai Redang Reef Rangers dan akan diketuai oleh agensi kerajaan negeri Terengganu iaitu TREVICOSTA. Program jangka masa panjang ini akan melibatkan lebih banyak agensi Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan serta Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) seperti Reef Check Malaysia, Sahabat Laut Malaysia (SELAM), Coral Malaysia , MNS dan lain-lain. Usaha ini akan memastikan pengurusan Taman Laut Pulau Redang dapat dimantapkan lagi dan sumber marin dapat dipulihara untuk generasi akan datang.

Redang Reef Rangers merupakan satu contoh usaha yang murni dalam usaha menjaga terumbu karang khususnya di Pulau Redang. Usaha Redang Reef Rangers bukan sahaja terhad kepada terumbu karang tetapi juga kebersihan dan pemuliharaan keseluruhan pulau redang serta memupuk kesedaran masyarakat setempat terutama di kalangan anak-anak muda terhadap kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar. Diharapkan dengan penubuhan Redang Reef Rangers ini, tahap kesedaran semua pihak akan meningkat seterusnya alam sekitar kita terjaga.

Ini merupakan langkah permulaan yang melibatkan Pulau Redang, manakala langkah jangkah panjang akan diteruskan dengan mengaplikasikan kaedah yang sama di seluruh kepulauan di Negeri Terengganu pada masa yang terdekat.

Dengan harapan tersebut, saya dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, melancarkan program Redang Reef Clean UP 2007 dan Redang Reef Rangers.

Pejabat Menteri Besar Terengganu

30 Ogos 2007

Acara: Majlis Perasmian Ucapan Pelancara Program “Redang Reef Clean-up” 2007

Lokasi: Laguna Redang Island Resort

Tarikh: 02 September 2007