Majlis Perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2007

Marilah kita bersama-sama mengucapkan rasa kesyukuran kita kepada Allah SWT di atas limpah nikmat dan kurniaNya membolehkan kita berada disini pada hari ini meraikan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2007.

Kerajaan Negeri Terengganu mengucapkan setinggi tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Pusat yang telah memberikan penghormatan kepada Kerajaan Negeri Terengganu sebagai tuan rumah dan penganjur bersama perayaan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2007. Kepada YAB Dato’ Seri Haji Abdullah bin Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia serta tetamu-tetamu jemputan yang hadir pada hari ini kita ucapkan selamat datang.

Sebagaimana kita semua sedia maklum Tema Hari Peladang pada tahun ini ” PERTANIAN ADALAH PERNIAGAAN” ianya amat bertepatan dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk melihat peladang, Penternak dan Nelayan dapat mengubah persepsi bahawa bidang pertanian tidak menjamin masa depan. Pertanian mampu menjana kekayaan.

Kerajaan Negeri sedar untuk menjana kejayaan dalam bidang pertanian bukan suatu usaha yang mudah, kita perlu mempunyai jentera penggerak yang benar-benar mantap serta mempunyai ketahanan dan komitmen yang tinggi. Kita sudah pun mempunyainya, kita ada lebih dari 12 jabatan / agensi yang memikul tanggung jawab ini.

Tahun 2006 merupakan Tahun Pertanian untuk negeri Terengganu. Hasil yang cukup memberangsangkan dapat dilihat pada tahun ini:-

  • Projek Ikan Sangkar Jana Pendapatan RM3,000 Sebulan. (Projek ZIA di Sungai Como, Tasik Kenyir, melibatkan 240 peserta dari kalangan siswazah, nelayan dan golongan PPRT yang mengendalikan ternakan ikan dalam 6,000 sangkar)
  • Projek Penternakan ikan kerapu harimau untuk program PPRT. (Projek ternakan ikan dalam tangki sedang diusahakan oleh nelayan dibawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin , menjana tambahan pendapatan sebulan sebanyak RM500 )
  • Kaedah Pulihara Hutan Paya Bakau Setiu, Terengganu Dicontohi Negeri Lain ( Richard Leete, perwakilan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) kawasan Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam memberi kerjasama penuh untuk projek seumpama ini )
  • Belanda Minat Labur Di Terengganu - projek tanaman mentimun, kacang buncis dan cili kulai merah di Telaga Papan, Setiu Terengganu yang menggunakan kaedah fertigasi teknologi tinggi - guna teknologi Belanda - 24 org siswazah ( 3 modul dengan anggaran RM 4 juta telah dibina dan setiap modul boleh menempatkan 8 orang peserta sebagai inkubator.
  • `Perkampungan Santuari Kelah’ di Hulu Terengganu ( Setiap peserta mempunyai satu kolam takungan dan setiap kolam memiliki 200 ekor benih ikan kelah )
  • Projek penamaman serai wangi di Kampung Sekayu, Kuala Berang- luas kawasan 10 hektar
  • Projek penamaman halia di Felcra Bukit Kapah, Kuala Berang , Hulu Terengganu Luas Kawasan 10 hektar
  • Tembikai empat segi di Setiu. Tembikai - hasil 150 tan dari 30 penanam. Sasaran 200 tan seminggu

Kerajaan Negeri telah mensasarkan 10,000 orang usahawan untuk dilahirkan di Negeri Terengganu. Kita memasuki tahun 2007 dengan penuh kecemerlangan dan gemilang, Pelbagai kejayaan telah kita buat melalui Terengganu baru ‘ MEMAHAT SEJARAH, MEMCIPTA TAMADUN” dalam segenap bidang baik diperingkat negeri, nasional mahu pun dunia. Oleh itu saya tidak mahu kita ketinggalan dalam sektor pertanian.

Wawasan negara maju yang ingin kita capai menjelang tahun 2020 hanya tinggal tidak lebih 15 tahun, dan pada hari ini ini juga kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara kita yang ke-50 ” MALAYSIA KU GEMILANG” dibahu kita semua semua terpikul tanggung jawab untuk merealisasikan hasrat dan impian kita dan seluruh rakyat Malaysia untuk melihat Malaysia menjadi negara maju setanding dengan negara maju lain di dunia.

Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian serius dalam usaha membangunkan sektor pertanian di Negeri Terengganu serta sentiasa mengalu-ngalukan sebarang usaha untuk melaksanakan perubahan minda para peladang, penternak dan nelayan untuk melihat arus pembangunan pertanian yang berterusan. Sektor Pertanian akan terus di martabatkan selari dengan prinsip-prinsip “ISLAM HADHARI”

Untuk akhirnya saya bagi pihak Kerajaan Negeri Terengganu dan seluruh peladang, penternak dan Nelayan Negeri Terengganu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Dato’ Seri Haji Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia yang sudi hadir menyempurnakan majlis perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2007 pada ini.

Sekian Wabillah Hitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum wbt.

Tarikh: 27 Ogos 2007

Waktu: 9.00 pagi

Tempat: Taman Awam Batu Burok, Kuala Terengganu