Kanak-Kanak Khatam Al-Quran

Terlebih dahulu marilah kita bersama-sama merafakkan rasa syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah dan kurniaNya, kita dapat hadir dalam majlis pada pagi ini.

Kita telah mendengar dan menyaksikan sendiri kelancaran anak-anak kecil dihadapan kita ini membaca AlQuran. Kita semua berasa amat bangga dengan kebolehan anak-anak ini yang mampu memperdengarkan bacaan ayat suci dengan lancar sekali.

Kalau dulu kita pasti merasakan ini sesuatu yang mustahil. Tetapi hari ini, realiti jelas di hadapan kita. Di dalam majlis yang cukup bersejarah pada pagi ini. Jika kita kuat ”usaha”, Insya Allah kita akan berjaya.

Kejayaan hari ini melambangkan kesungguhan anak-anak ini, kesungguhan serta keyakinan guru-guru pembimbing. Kejayaan ini juga adalah kejayaan ibubapa yang turut sama memberi sokongan. Syabas dan Tahniah anak-anak sekelian. Terima Kasih Guru-Guru Pembimbing. Terima Kasih kepada semua ibubapa. Terima Kasih kepada semua yang terlibat. Alhamdulillah berkat usaha, berkat doa semua, dengan restu Ilahi maka kejayaan ini terpahat dalam sejarah.

Majlis ini adalah sebagai tanda penghargaan atas kejayaan anak-anak kita. Kita ingin tanamkan budaya AlQuran dalam diri kanak-kanak sejak dari kecil lagi. Apabila dari kecil budaya cintakan Al Qur’an dapat disemai, insya Allah bila dewasa ianya menjadi inspirasi mencipta kecemerlangan dan benteng dari melakukan maksiat.

Hadirin sekelian,

Pada tahun 2006, seramai 937 kanak-kanak tadika Yayasan Islam Terengganu telah berjaya memecah tradisi ini. Pada usia 5 dan 6 tahun kanak-kanak ini telah berjaya khatam bacaan sebuah AlQuran. Malah kejayaan ini dicatatkan di dalam Malaysia Book Of Records.

Pada tahun ini kita berjaya pecahkan rekod yang kita cipta tahun lalu. Seramai 2010 orang kanak-kanak berjaya khatam Quran pada hari ini. Inilah yang kita katakan, Terengganu berjaya memahat sejarah mencipta tamadun.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Kejayaan ini kita capai hasil gabung usaha 3 Jabatan prasekolah. Iaitu Yayasan Islam Terengganu dengan 1153 kanak-kanak - Tahniah kepada Yayasan Islam Terengganu. KEMAS dengan 755 kanak-kanak – Tahniah kepada KEMAS.102 kanak-kanak - Tahniah kepada JPNT. Inilah 2010 anak-anak kita yang berjaya khatam 30 juzuk Quran. Tambah mengagumkan kanak-kanak ini baru berusia 5 dan 6 tahun sahaja. Syabas dan Tahniah semua. Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu dengan

Kita jarang sekali mendengar kanak-kanak menghafaz surah Yassin. Yayasan Islam Terengganu telah berjaya membuktikannya. Seramai 243 kanak-kanak berkemampuan menghafaz surah Yassin. 21 orang daripadanya berjaya menghafaz keseluruhan 83 ayat surah Yassin. Alhamdulillah, ini adalah satu lagi kejayaan yang membanggakan kita semua.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Firman Allah SWT di dalam Surah AlBaqarah ayat 185

Yang bermaksud:

Diturunkan Al Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan Yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara Yang benar dengan yang salah.

Alhamdulillah, kitab petunjuk ini kita semaikan kepada anak-anak kita sejak dari kecil lagi.

Allah juga mengingatkan kita

إِنَّ اللّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنْفُسِهِمْ

Yang bermaksud:

’Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan mereka mengubah nasib diri mereka sendiri.’

(Surah Ar-Ra’d ayat 11)

Allah mengingatkan kita agar kita berusaha mengubah nasib kita. Hari ini kita telah berusaha untuk mempastikan anak-anak kita dapat membaca dan khatam Kitab Petunjuk dari Allah SWT. Inilah pilihan yang telah kita buat untuk terus berjaya. Insya Allah, pilihan dan usaha ini akan mengubah masa depan bangsa kita.

Untuk mengubah nasib kita, jangan hanya pandai salahkan orang lain. Jika orang Islam hanya pandai bercakap dan tidak mahu melaksanakan, maka jangan orang lain dipersalahkan sekiranya mereka berjaya. Untuk menempa kejayaan, kita perlu bertindak. Kita perlu buat pilihan. Kita buat pilihan untuk berjaya. Kita buat pilihan untuk jadi hebat…..untuk menebus maruah bangsa dan agama kita!

Tuan-tuan dan puan-puan,

Di Terengganu, kita buat pilihan untuk melahirkan generasi yang cemerlang, gemilang lagi terbilang. Inilah generasi ulul albab. Inilah generasi ulul albab yang bercirikan Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik.

Quranik : memahami AlQuran dan membudayakan akhlak AlQuran

Ensiklopedik : hebat dalam pelbagai ilmu

Ijtihadik : kreatif dan mampu mengubah ummah

Kita sedang membentuk satu generasi yang kelak akan menjadi pemimpin dunia. Generasi yang akan mengembalikan maruah ummah.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Hari ini kita telah mulakan proses melahirkan generasi ulul albab. Sebagai permulaan anak-anak kecil ini kita jadikan Pintar dan cinta Quran. Di sekolah rendah kita dalam usaha menubuhkan kelab ulul albab. Ahli-ahli kelab akan dilatih dengan kemahiran berfikir, kemahiran membaca laju, teknik mengingat, mengasah kreativiti serta kepimpinan.

Kita juga wujudkan sekolah IMTIAZ di mana pelajar peringkat menengah dilatih untuk menghafaz, memahami dan menghayati 30 juzuk AlQuran (Quranik). Mereka juga diberi pendedahan ilmu dan kemahiran yang pelbagai (Ensiklopedik). Dalam masa yang sama para pelajar sekolah ini juga dilatih untuk lebih kreatif lagi berinovasi (Ijtihadik). Pada awal Ramadhan ini juga kita telah melancarkan Ikatan Ulul Albab di kalangan pelajar kita di Mesir. Tidak lama lagi Ikatan ini akan turut dilaksanakan di Madinah. Insya Allah generasi ulul albab akan dilahirkan.

Sesungguhnya Allah SWT akan memberikan balasan yang baik bagi setiap amalan yang baik. Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT Yang Amat Permurah lagi Maha Penyayang, agar kita semua diberi kekuatan untuk menjayakan hasrat murni melahirkan generasi ulul albab. Usaha kita pada hari ini adalah merupakan permulaan pembentukan generasi tersebut.

Marilah jua sama-sama kita mendoakan kepada Allah SWT agar negeri kita terus aman dan bertambah maju. Kita doakan juga semoga Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, anakanda-anakanda serta seluruh keluarga berada di dalam sihat wal’afiat, aman sejahtera selama-lamanya. Amin ya Rabbal ‘alamiin.

Ampun Tuanku

Sekian persembahan ucapan patik.

Wabillahi Taufiq wal Hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Ampun Tuanku.