Program Ulul Albab

ULUL AL BAB -MISI MENJANA KEPIMPINAN MUSLIM GLOBAL

oleh: Idris bin Jusoh

Dalam ucapannya di Pusat Pengajian Islam, University Oxford pada 1 Oktober, 2004, YAB Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri berkata:

“The Ulul al Bab or men of understanding the Qur’an refers to, are people of reason, of science, of philosophy, of technology.  To me the verse represents a categorical imperative for Muslims to unshackle our minds and further, to acquire and master the sciences and technology in order to stay relevant in the modern world.”

“Ulul al Bab atau golongan yang berakal sempurna, sepertimana yang disebut dalam Al Qur’an adalah mereka yang mempunyai kekuatan akal fikiran, yang menguasai sains, falsafah dan teknologi. Pada saya, ayat tersebut adalah satu tuntutan agar umat Islam menggerakkan minda, dan yang lebih penting menguasai sains dan teknologi, agar dapat terus kekal relevan di zaman moden ini.”

Saya rasa sangat teruja apabila membaca petikan ucapan YAB Perdana Menteri ini. Manusia ulul al bab disebut sebanyak 16 kali dalam Al Qur’an, satu gambaran betapa pentingnya golongan seumpama ini wujud. Namun kesemua ayat tersebut berupa peringatan kepada mereka yang berakal sempurna, dan bukan gesaan ke arah melahirkan golongan tersebut.

Justeru dari segi maksud umumnya, semua umat manusia diberi peringatan agar sentiasa memerhati dan mengambil iktibar dari kejadian di sekeliling mereka. Akhirnya pemerhatian tersebut menjurus ke arah keagungan dan keesaan Tuhan yang satu.

Namun tidak semua yang akan dapat berfikir dengan sempurna dan yang akan dapat ilham dari pemerhatian mereka kerana yang dapat menimbulkan ketibaan makna dalam diri, yang bakal mengurniakan taufik dan hidayah hanyalah Allah SWT.

Justeru saya berpendapat, pemerhatian harus diikuti dengan pengiktibaran yang seterusnya mendorong manusia memanfaatkan hasil dapatan untuk kesejahteraan manusia.

Misalnya prinsip terbang di ambil dari pemerhatian terhadap kedudukan sayap burung ketika terbang, prinsip aliran angin di atas dan bawah sayap serta tolakan dan graviti. Prinsip terbang juga berkaitan dengan kuasa angin, yang digunakan untuk menujah kapalterbang naik ke atas.

Orang Barat mengkaji dan akhirnya merekacipta kapalterbang untuk kegunaan manusia.

Saya kemudiannya terfikir untuk cuba menjawab beberapa persoalan berikut:

  • Kenapa perlunya golongan ulul al bab dalam konteks semasa
  • Apakah yang disebut dalam Al Qur’an tentang Ulul al Bab ini beserta ciri - cirinya?
  • Apakah mungkin kita dapat lahirkan di zaman kita satu golongan sepertimana yang disebut dalam Al Qur’an sebagai golongan Ulul al-Bab ini?
  • Dan yang paling penting, bagaimanakah golongan Ulul alBab ini akhirnya mampu menjadi pemimpin global?

Kenapa perlunya golongan ulul al Bab dalam konteks semasa

Mari kita lihat beberapa pemerhatian dan perkembangan berikut :

  • Semenjak Mac, 2003, kos untuk membiayai operasi pencerobohan tentera Amerika Syarikat ke atas Iraq melebihi USD 250 billion (hampir RM 1 trillion). Peruntukan untuk membiayai Rancangan Malaysia ke-9 hanyalah RM 200 billion.
  • Israel adalah negara kecil dengan 7 juta penduduk (berbanding 465 juta penduduk di Timur Tengah) tetapi mempunyai tentera yang keempat terkuat di dunia
  • Warren Buffet jutawan Amerika Syarikat yang dikatakan orang kedua terkaya di dunia selepas Bill Gates, menderma USD 30.7 billion (RM 117 billion) hartanya ke Yayasan Gates, lebih separuh dari perbelanjaan untuk RMK 9.
  • Dari 10 negara yang termiskin di dunia (iaitu rakyatnya berpendapatan kurang USD 1 sehari), 6 adalah Negara Islam.
  • Dari 15 negara yang tersenarai dalam “Growth Competitiveness Index 2005″ oleh The World Economic Forum, tiada Negara Islam yang tersenarai. Malaysia terletak di tangga 24. (pada tahun 2008, Malaysia di tangga 21, iaitu Negara Islam yang berkedudukan paling tinggi. Negara Arab yang paling tinggi kedudukannya ialah Qatar pada tangga 26)

Apakah kaitan semua maklumat ini dengan ulul al bab?

Pada pendapat saya, keadaan ini menunjukkan kelemahan yang sangat ketara di kalangan Negara dan umat Islam. Kita tidak mampu bersaing dan menjadi pemain global.

Walaupun umum mengetahui umat Islam lemah, ditindas dan sebagainya, (ini sudah banyak diperkatakan), saya  percaya penyelesaiannya mudah. Jalan keluar dari kemelut ini ialah melalui penguasaan  minda dan akal fikiran.

Sekiranya kita mampu menguasai minda dan akal fikiran, kita mampu menguasai dunia. Seperti kata Tony Buzan, seorang pakar minda “if you can change the way you think, you can change the whole world“.

Di sinilah letaknya kelebihan umat Islam. Mereka diberi peringatan sebanyak 16 kali tentang ulul al bab. Peringatan dan pemerhatian harus diikuti dengan pengiktibaran yang seterusnya mendorong manusia memanfaatkan hasil dapatan untuk kesejahteraan manusia. Lihat contoh konsep kapalterbang yang saya sebutkan awal tadi.

Begitu besar dan dalamnya pengertian Ulul al bab sehinggakan Rasulullah SAW dicatatkan menangis sepanjang malam apabila membaca ayat 190 - 191 Surah A-li ‘Imraan yang bermaksud:

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang, terdapat tanda - tanda bagi orang - orang yang berakal (ulul al Bab). (Iaitu) orang - orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata):”Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia - sia. Maha suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.”

Definisi

Kalimah “al bab” dalam konteks bahasa adalah bentuk jamak dari “lubb” yang membawa pengertian

  • Qalbu (Hati),
  • Akal Fikiran / Intelek
  • intipati

Tidak banyak definisi khusus yang ditemui berkenaan Ulul al bab. Namun istilah itu telah diberi beberapa maksud yang semuanya menjurus ke arah akal, pemikiran dan kebijaksanaan. Contohnya:

“People/ Men endowed with insight” - Muhamad Asad

“Men of understanding” dan “O you who are wise” - Yusuf Ali

“Orang yang berfikiran dalam” dan “Orang yang mempunyai inti fikiran” - Hamka

“Orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahami) - Abdullah Basmeh

“People of Intelligence” - Mahmoud Ayoub.

Dalam Seminar Ulul al bab yang diadakan di Kuala Terengganu pada 21 September, 2006, saya telah telah memberi definisi Ulul al bab sebagai:

“Satu golongan yang mempunyai asas kukuh dalam Al Qur’an, ilmu pengetahuan yang luas dan pelbagai, mampu  berfikir  dan memerhati kejadian Tuhan melalui mata hati dan akal yang tajam serta mengambil iktibar darinya.”

Dalam seminar yang sama, Dr. Siddiq Fadzil telah memberi definisi ulul al bab sebagai “ilmuwan mukmin yang mampu melihat yang tersirat di balik yang tersurat, dan dapat menangkap hakikat di balik ayat (tanda - tanda).”

Dari kedua - dua definisi ini dapat dirumuskan beberapa perkara. Pertama, Al-Quran adalah asas dalam melahirkan golongan Ulul al bab.

Kedua, Ulul al bab adalah seorang intelektual Muslim yang bermakna ketinggian ilmu pengetahuan yang disepadukan dengan ketajaman akal fikiran adalah kekuatan yang sangat ampuh.

Ketiga, yang menjadi bezanya seorang yang mempunyai sifat Ulul al bab, yang intelek, dengan seorang intelektual biasa ialah “kesedarannya yang berterusan tentang kehadiran Tuhan (keterikatan dengan hukum - hakam, prinsip dan nilai, pesan dan ajaranNya) dalam semua keadaan, bila - bila dan di mana - mana.” (Siddiq Fadzil).

Ada pendapat yang mengatakan Ulul al bab ini adalah “gifted”, iaitu mereka yang terpilih yang diberi kebolehan khas oleh Allah SWT. Namun semangat yang dilihat dari ayat - ayat Al Qur’an menunjukkan kedua - dua pendekatan iaitu “gifted” dan juga gesaan kepada seluruh manusia sentiasa merenung dan berfikir, mengambil iktibar dan seterusnya mencari jalan bagaimana kebijaksanaan yang ditemui dapat dimanfaatkan untuk kebaikan manusia.

Ulul al bab dalam Al-Quran

Ulul al Bab telah disebut sebanyak 16 kali dalam Al Qur’an.

BIL SURAH AYAT BIL SURAH AYAT
1 Al- Baqarah 179 9 Ibrahim 52
2 Al- Baqarah 197 10 Saad 29
3 Al- Baqarah 269 11 Saad 43
4 A-li ‘Imraan 7 12 Az-Zumar 9
5 A-li ‘Imraan 190 13 Az-Zumar 18
6 Al-Maaidah 100 14 Az-Zumar 21
7 Yusuf 111 15 Ghaafir 54
8 Ar-Ra’d 19 16 At-Talaaq 10

  • Surah Al Baqarah, Ayat 179

ayat1

“Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertakwa.”

  • Surah Al Baqarah, Ayat 197

“…. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah) dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).”

  • Surah Al Baqarah, Ayat 269

ayat2

“Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya) dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.”

  • Surah Ali Imraan, Ayat 7

ayat3

“…. adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.”

  • Surah Ali Imraan, Ayat 190

ayat4

” Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.”

  • Surah Al Maaidah, Ayat 100

ayat5

“Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya.”

  • Surah Yusuf, Ayat 111

ayat6

“Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) ia bukanlah cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.”

  • Surah Ar-Ra’d, Ayat 19

ayat7

“Maka adakah orang yang mengetahui bahawa Al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu (wahai Muhammad) perkara yang benar, sama dengan orang yang buta mata hatinya? Sesungguhnya orang-orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”

  • Surah Ibrahim, Ayat 52

ayat8

“(Al-Quran) ini disampaikan kepada manusia supaya mereka diberi ingat dan diberi nasihat dengannya dan supaya mereka mengetahui (dengan hujah-hujah yang tersebut di dalamnya) bahawa sesungguhnya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa dan supaya orang-orang yang mempunyai fikiran, beringat dan insaf.”

  • Surah Saad, Ayat 29

ayat9

“(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”

  • Surah Saad, Ayat 43

ayat10

“Dan Kami kurniakan (lagi) kepadanya keluarganya, dengan sekali ganda ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang berakal sempurna (supaya mereka juga bersikap sabar semasa ditimpa malang).”

  • Surah Az-Zumar, Ayat 9

ayat11

(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.

  • Surah Az-Zumar, Ayat 18

ayat12

“Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.”

  • Surah Az-Zumar, Ayat 21

ayat13

“Tidakkah engkau memerhatikan, bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu dialirkanNya menjadi mata air-mata air di bumi; kemudian Dia menumbuhkan dengan air itu tanaman-tanaman yang berbagai jenis dan warnanya; kemudian tanaman-tanaman itu bergerak segar (hingga ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatmu berupa kuning; kemudian Dia menjadikannya hancur bersepai? Sesungguhnya segala yang tersebut itu mengandungi peringatan yang menyedarkan orang-orang yang berakal sempurna.”       ( Az- Zumar : 21 )

  • Surah Ghaafir, Ayat 54

ayat14

“Sebagai hidayat petunjuk dan peringatan bagi orang-orang yang berakal sempurna.”

  • Surah At-Talaaq, Ayat 10

ayat15

“Allah menyediakan bagi mereka azab seksa yang seberat-beratnya. Maka bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal sempurna dari kalangan orang yang beriman. Sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada kamu peringatan; “

Ciri-ciri Ulul Albab

Perbincangan mengenai Ulul al Bab dan definisinya tidak terhad kepada penyenaraian ayat - ayat suci Al Qur’an. Walaupun terdapat sifat - sifat umum yang disebut dalam Al Qur’an yang melayakkan seseorang itu diberi gelaran Ulul al Bab, cabaran yang lebih besar ialah menyenaraikan ciri - ciri yang lebih khusus.

Saya telah mengambil inisiatif menyenaraikan 3 ciri golongan Ulul al Bab ini sebagai mereka yang:

  • Qur’anik
  • Ensiklopedik
  • Ijtihadik

CIRI 1 : Qur’anik

Qur’anik diertikan sebagai mereka yang bukan sahaja khatam hafazan (menghafal 30 Juzuk Al-Quran), tetapi juga mempunyai pengetahuan yang tinggi tentang ilmu Al Qur’an seperti ketertiban bacaan, lagu dan mengamalkan ajaran Al Qur’an itu sendiri.

CIRI 2 : Ensiklopedik

Ensiklopedik dimaksudkan dengan keupayaan untuk menguasai pelbagai cabang ilmu (multi - discipline) dan pelbagai bahasa (multi lingual).

CIRI 3 : Ijtihadik

Memberi erti bahawa seseorang itu haruslah mempunyai keupayaan untuk memberikan pandangan dalam menyelesaikan masalah umat. Haruslah memiliki sifat-sifat kreatif dan inovatif, pemikiran strategik, pemikiran lateral dan sebagainya.

Intipati bagi 16 ayat dalam Al-Quran yang menyebut tentang Ulul- al Bab ialah seperti jadual dibawah.

BIL SURAH AYAT INTIPATI CIRI-CIRI
1 Al- Baqarah 179 Berakal fikiran & bertakwa

Ijtihadik

2 Al- Baqarah 197 Memelihara diri & bertakwa

Ijtihadik

3 Al- Baqarah 269 Mengambil pengajaran & peringatan

Ijtihadik

4 A-li ‘Imraan 7 Mendalami ilmu-ilmu agama

Ensaiklopedik

5 A-li ‘Imraan 190 Kejadian langit dan bumi

Ensaiklopedik

6 Al-Maaidah 100 Buruk dengan baik

Ijtihadik

7 Yusuf 111 Sebagai keterangan

Ijtihadik

8 Ar-Ra’d 19 Al-Quran diturunkan

Quranik

9 Ibrahim 52 Diberi ingat & nasihat

Quranik

10 Saad 29 Banyak faedah-faedah

Quranik

11 Saad 43 Peringatan

Ijtihadik

12 Az-Zumar 9 Yang mengetahui dengan tidak

Ijtihadik

13 Az-Zumar 18 Memilih dan menurut hukum agama

Ijtihadik

14 Az-Zumar 21 Memerhatikan kejadian Tuhan

Ijtihadik

15 Ghaafir 54 Hidayat petunjuk dan peringatan

Quranik

16 At-Talaaq 10 Bertakwa

Quranik

Model ULUL ALBAB

Model ini dicadangkan sebagai asas kepada manusia ulul al bab, dengan menggabungkan ciri - ciri Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik (QEI),

model

Di masa yang sama 3 ciri di atas juga mewakili tiga elemen (Quotient) yang mewarnai seorang manusia:

  • Qur’anik = Spritual Quotient (SQ)
  • Ensiklopedik = Intelligent Quotient (IQ)
  • Ijtihadik = Emotional Quotient (EQ)

Ulul al Bab - Dari Konsep Ke Realiti

Mengambil inspirasi daripada kehebatan tamadun Islam zaman silam, kebijaksanaan dan gesaan dari Al-Quran serta syarahan YAB Perdana Menteri di Universiti Oxford, saya telah memperkenalkan konsep Sekolah Imtiaz. Keistimewaan konsep ini ialah elemen hafazan dan penguasaan Al-Quran dijadikan sebagai asas pembelajaran di samping pembelajaran mengikut Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Setakat ini empat buah Sekolah Imtiaz telah ditubuhkan di Terengganu iaitu :

  1. Imtiaz Besut
  2. Imtiaz Dungun
  3. Imtiaz Kuala Berang
  4. Imtiaz Kuala Terengganu

Setiap orang pelajar akan dilatih untuk menghafal 10 juzuk Al-Quran setahun. Ini bermakna dari tingkatan 1 hingga tingkatan 3 mereka ini diharap dapat menghafaz 30 juzuk Al-Quran. Manakala apabila mereka berada di tingkatan 4 dan 5, mereka akan melakukan proses ulangkaji supaya bacaan dan hafazan menjadi lebih lancar.

Apa yang cuba dilahirkan melalui proses ini adalah golongan manusia yang mempunyai kesepaduan antara duniawi dan pada masa yang sama mempunyai asas yang kukuh dalam hafazan Al-Quran.

Aktiviti kokurikulum Sekolah Imtiaz termasuklah kelas mempelajari bahasa Tamil, bahasa Cina, bahasa Arab, seni khat, avionik, sukan berkuda dan juga kelas seni mempertahankan diri. Semua aktiviti ini dilaksanakan supaya pelajar yang lahir adalah mereka yang serba boleh (all rounder) dan seimbang (wholesome).

Sungguhpun demikian, usaha ini mungkin tidak menjamin kelahiran seratus peratus pelajar yang menghafaz 30 juzuk Al-Quran dan cemerlang dalam pelajaran. Kita menjangkakan dari proses pendidikan ini, kemungkinan akan lahir 10 % darinya sebagai ‘Cream of the cream’.

Rumusan

Konsep Ulul al Bab bukan satu konsep yang abstrak. Ianya boleh diterjemahkan ke dalam bentuk realiti melalui sistem pembelajaran yang diberi nilai tambah. Sesungguhnya Islam itu bukan untuk dikhutbahkan semata-mata tetapi untuk dilaksanakan. Kita telah berusaha menzahirkan konsep Ulul al Bab ini melalui Sekolah Imtiaz.

Setakat ini pencapaian pelajar - pelajar Imtiaz dalam peperiksaan kebangsaan adalah setanding dengan pelajar - pelajar sekolah lain. Malah para pelajar Imtiaz lebih cemerlang kerana mereka menguasai elemen hafazan. Namun kajian yang lebih terperinci harus dibuat untuk melihat prestasi lepasan Imtiaz dan trek kerjaya mereka.

Di masa yang sama, kita juga boleh melihat elemen hafazan dan kaitannya dengan kekuatan minda (mind power). Satu lagi bidang yang memerlukan kajian khusus.

Namun dari sudut yang lebih besar, kejayaan program untuk melahirkan generasi Ulul al Bab bergantung kepada kepimpinan yang dinamik, komitmen berterusan dari semua pihak, termasuk ibubapa..

Mungkin usaha ini tidak mampu menjawab semua permasalahan umat. Apa yang kita harapkan ialah pembentukan masyarakat ulul al bab ini nanti mampu menjana kepemimpinan Muslim yang bertaraf global.