KE ARAH PEMBINAAN GENERASI ULUL ALBAB

oleh: Idris bin Jusoh


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Menuntut ilmu itu adalah wajib di atas setiap orang Muslim.”

Begitu juga kata hikmah yang bermaksud:

“Siapa yang inginkan ketinggian di dunia, maka hendaklah dia berilmu, siapa yang inginkan ketinggian di akhirat, maka hendaklah dia berilmu dan siapa yang inginkan ketinggian di dunia dan akhirat kedua - duanya sekali, maka hendaklah dia berilmu.”

Kedua - dua kenyataan tadi menunjukkan peri pentingnya menuntut ilmu pengetahuan, yang menjadi asas kepada perbincangan kita.

Sedar tidak sedar, kita sudah lebih 3 tahun memerintah. Dalam tempoh yang singkat ini, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan UMNO dan Barisan Nasional telah melaksanakan lebih banyak program pendidikan dari Kerajaan Pas yang memerintah selama 4 tahun.

Kerajaan Negeri Terengganu di bawah Pas dahulu seolah - olah tidak berminat untuk membangunkan anak Negeri dalam bidang pendidikan, mereka sebaliknya lebih berminat untuk meramaikan ahli Pas dengan menggunakan agenda pendidikan sebagai satu proses kaderisasi.

Melayu memang mudah lupa. Tapi rakyat Terengganu takkan lupa.

Apakah kita sudah lupa siapa yang menghalau kanak - kanak tadika Kemas?

Apakah kita sudah lupa siapa yang tutup MRSM?

Apakah kita sudah lupa siapa yang mengabaikan KUSZA dan TATI, yang mengambil pelajar yang tidak cukup syarat?

Apakah kita sudah lupa semua ini? Tidak, rakyat Terengganu tidak mudah lupa. Kalaulah kanak - kanak tadika pun boleh jadi mangsa, apatah lagi orang tua macam kita. Rakyat Terengganu tidak akan lupa.

KOMITMEN KITA TINGGI DI BIDANG PENDIDIKAN

Kerajaan Barisan Nasional telah berjanji dalam manifesto pilihanrayanya yang lalu bahawa pendidikan akan menjadi agenda terpenting dalam membangun Negeri Terengganu selaras dengan konsep Islam Hadhari Terengganu Bestari.

Janji kita dalam bidang pendidikan sepertimana yang terkandung dalam manifesto ialah:

1. mewujudkan sebuah universiti penuh

  • iaitu universiti yang kita kenali sebagai Universiti Darul Iman Malaysia (UDM). Perlu saya nyatakan juga bahawa UDM adalah lambang kerjasama erat di antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat.

2. mempertingkatkan prestasi kecemerlangan pendidikan (pra-sekolah rendah dan menengah)

  • hasil usaha gigih para ibubapa, guru, pelajar dan sokongan Kerajaan melalui peruntukan Dana Khas telah membuahkan kejayaan apabila selama 5 tahun berturut - turut, Negeri Terengganu mencatatkan kedudukan tertinggi dalam UPSR.
  • Juga dalam usaha mempertingkatkan prestasi kecemerlangan, Kerajaan Negeri telah menghantar lebih 30 orang guru ke University of Connecticut, Amerika Syarikat untuk menghadiri kursus “Confratute” iaitu satu pendekatan baru pembelajaran kreatif dan yang menyeronokkan untuk pelajar.

3. meningkatkan mutu pembelajaran di tadika dan sekolah

  • Kerajaan Negeri telah melatih 50,000 orang anak - anak tadika di bawah program tadika cemerlang dalam tempoh 3 tahun.

Alhamdulillah, semua janji - janji ini sudah terlaksana sepenuhnya.

Di masa yang sama, saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih di atas sumbangan pemimpin - pemimpin UMNO dan Barisan Nasional Terengganu yang terdahulu.

Mereka telah banyak menyumbang kepada pembangunan pendidikan di Negeri Terengganu. Kita sebagai generasi pelapis, mewarisi banyak institusi pendidikan seperti Yayasan Terengganu, Yayasan Islam, KUSZA, TATI, Sekolah - sekolah menengah Agama, Maahad Tahfiz dan sebagainya.

Terima kasih kepada mereka semua.

Terengganu kini  mempunyai prasarana pendidikan yang baik, dan mempunyai rekod kecemerlangan pendidikan yang membanggakan. Kerajaan berhasrat untuk bukan sahaja mengekalkan rekod ini, malah berusaha merancang dan meningkatkan lagi keupayaan kita dalam pendidikan. Terengganu Bestari hanya akan menjadi realiti bersama dengan kejayaan kita meletakkan tahap pendidikan di negeri ini dalam kelas dunia.

Tahap ini bukan sesuatu yang mustahil dicapai. Kerajaan akan membuka peluang seluas-luasnya kepada rakyat negeri ini menimba ilmu pengetahuan dan menguasai pelbagai kemahiran bagi meningkatkan kapasiti masing-masing. Proses pendemokrasian pendidikan di Terengganu pasti berlaku. Saya akan pastikan supaya tidak ada seorangpun anak Terengganu yang tercicir dalam pendidikan akibat kemiskinan.

Kerajaan juga akan mempastikan pembinaan pelbagai kemudahan pendidikan dan kemahiran untuk dimanfaatkan oleh  rakyat sebagai langkah menjadikan Terengganu sebuah pusat pendidikan di rantau ini yang bertaraf dunia.

Setiap tahun peruntukan yang besar akan diberikan di bidang pendidikan.

Pendidikan memang menjadi tanggungjawab Kerajaan Pusat. Tetapi di peringkat Negeri, kita  ada tanggungjawab moral dan tanggungjawab sosial kepada rakyat negeri ini untuk memajukan anak negeri melalui pendidikan.

Sebab itu kita peruntukkan perbelanjaan yang besar untuk usaha - usaha nilai tambah (value adding) kepada institusi pendidikan pusat yang sedia ada. Sebagai contoh, penubuhan 2 buah Sekolah yang kita panggil Sekolah Elit dan 14 buah sekolah yang kita namakan sebagai Sekolah Primier. Sekolah - sekolah ini adalah sebenarnya sekolah - sekolah kebangsaan yang sedia ada tetapi kita pertingkatkan mutu kelengkapan mereka seperti kelengkapan makmal sains, perpustakaan dan kemudahan ICT.

Misalnya bagi setiap Sekolah Elit, nisbah murid kepada komputer ialah 2 kepada 1 manakala Sekolah Primer pula ialah 4 orang murid kepada sebuah komputer. Di samping itu kita juga wujudkan Kelab Aeroangkasa, Kelab Robotik dan Brass Band.

Di peringkat pra sekolah juga kita ambil pendekatan tambah nilai (value adding) iaitu dengan mempertingkatkan tahap tadika KEMAS  melalui kemudahan IT dan sistem pembelajaran yang terkini dan kita panggil tadika - tadika ini sebagai Tadika Cemerlang. Satu lagi usaha nilai tambah ialah mewujudkan Sekolah - Sekolah Imtiaz iaitu dengan menerapkan sistem hafazan Al Qur’an ke dalam sistem pembelajaran yang sedia ada. .

Tetapi saya berkongsi pandangan dengan YAB Perdana Menteri dalam satu temuramahnya di sebuah akhbar tentang pencapaian anak - anak Melayu dalam pelajaran. Sekolah sama, buku sama, cikgu sama, kurikulum sama, peperiksaanpun sama, tapi kenapa pencapaian kita tidak sama? Kita masih ketinggalan berbanding pelajar - pelajar bukan Bumiputera.

Begitu juga sekiranya setiap tahun Negeri Terengganu mencatat rekod terbaik peringkat Negara dalam Peperiksaan UPSR, bolehkah rekod itu dikekalkan sehingga ke peringkat PMR, SPM malah STPM? Tahap pencapaian pelajar Terengganu khasnya dan pelajar Bumiputera amnya di peringkat Ijazah juga sederhana, tidak ramai yang dapat “First Class”.

Ini adalah antara perkara yang wajar kita fikirkan bersama.

HALATUJU PENDIDIKAN NEGERI TERENGGANU

Saya teringat akan tulisan Franz Rosenthal, seorang sarjana Barat yang menterjemahkan buku “Muqaddimah” Ibnu Khaldun ke dalam Bahasa Inggeris. Ibnu Khaldun telah membuat perbandingan di antara Umran Badawi dan Umran Hadhari dalam konteks tamadun Andalusia. Rosenthal  pula menulis bahawa tamadun atau peradaban Islam, yang beliau rujuk kepada tamadun Andalusia itu, menjadi hebat bukan semata - mata kerana kekuatan ketenteraan, keluasan wilayah atau penduduk yang besar; tetapi Andalusia ialah tamadun yang hebat kerana kekuatan dan kehebatan ilmu atau apa yang beliau sebut sebagai “knowledge triumphant“.

Jadi “Islam Hadhari”, “ilmu”, “knowledge triumphant” dan “pendidikan” saling berkait. Ilmu dan pendidikan membentuk adab, kalau apa yang disebut oleh Prof. Syed Naguib al Attas, ilmu itu sebagai ketibaan makna ke dalam diri. Manusia yang beradab, manusia yang tahu peranan dan kedudukan mereka masing - masing, manusia itulah yang akan membentuk peradaban.

Ilmu dan pendidikan adalah teras pembinaan tamadun. Peranan ilmu dan pendidikan bukan hanya dari segi melahirkan pakar - pakar dalam bidang - bidang tertentu. Memang menjadi impian kita untuk melahirkan seramai mungkin pakar dalam bidang - bidang perubatan, sains, astronomi, kejuruteraan, rekabentuk, matematik dan bioteknologi.

Dalam sejarah Islam sendiripun pakar - pakar ini bukan sahaja mahir dalam satu bidang malah mereka bersifat “multidisciplinary“.

Inilah yang saya maksudkan sebagai usaha kita untuk membangunkan satu golongan yang dipanggil ULUL AL BAB, iaitu golongan yang menggunakan kurniaan dan anugerah akal untuk merenung dan mengambil pengajaran dari setiap kejadian alam semesta berpandukan Al Qur’an dan Hadis.

Di dalam Surah Ali Imran, ayat 190, Allah berfirman yang bermaksud,

” Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda - tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang - orang yang berakal.”

Saya berpendapat, golongan ulul al-bab yang ingin kita lahirkan harus mempunyai tiga ciri berikut iaitu mempunyai ciri - ciri “Qur’anik“, “Ensiklopedk” dan yang “Ijtihadik“.

Yang dimaksudkan dengan “Qur’anik” ialah mereka yang bukan sahaja membaca Al Qur’an malah faham, hafaz dan mengamalkannya.

Yang dimaksudkan dengan “Ensiklopedik” ialah mereka yang menguasai pelbagai disiplin ilmu (multidisciplinary) dan pelbagai jenis bahasa (multilingual).

Dan akhir sekali yang dimaksudkan dengan “Ijtihadik” ialah mereka yang mempunyai kreativiti dan daya cipta yang tinggi, yang mempunyai iltizam untuk berani mencuba perkara baru dan menghasilkan ide -ide baru untuk kebaikan umat manusia.

Bagaimana sistem pendidikan kita dapat mengambilkira ciri - ciri ini dalam melahirkan pelajar yang tidak hanya boleh mendapatkan pekerjaan? Bagaimana system pendidikan kita dapat mengambilkira penerapan nilai - nilai ini sebagai ukuran dan indikator kejayaan dan bukannya bergantung kepada peperiksaan semata - mata?

Penerapan nilai - nilai inilah yang menjadi sebahagian dari proses Islamisasi ilmu sepertimana yang diutarakan oleh Prof. Syed Naquib al Attas dan Almarhum Al Faruqi.

Kita perlukan pendidikan yang kreatif (creative education) dan kemahiran bertaraf global (global skills) untuk maju dan bersaing. Saya mahu melihat Terengganu menjadi pusat ilmu dan pembelajaran (center of knowledge and learning), sebagaimana Andalusia, Baghdad dan Mesir di satu ketika dulu; menjadi sebuah koridoraya pendidikan yang menghasilkan generasi Ulul Al Bab.

5 CABARAN PENDIDIKAN

Sebab itulah dalam hal ini, saya telah menggariskan 5 cabaran utama dalam menentukan halatuju pendidikan Terengganu.

Cabaran pertama

Melahirkan manusia yang beradab dan sarat dengan nilai - nilai murni

Bagaimana nanti, melalui proses pendidikan,  dapat dilahirkan pengurus yang memimpin, penguasa yang amanah, tidak rakus, tidak rasuah, tidak menindas, pembela kepada yang lemah, pelindung kepada yang teraniaya, pemimpin yang adil, yang membetulkan setiap yang menyeleweng, pemberi bantuan kepada yang hak, bukan yang mendahulukan kaum kerabat sendiri, pengikut yang setia, manusia yang menunjukkan kasih sayang sesama insan, bukan yang dipenuhi sifat benci yang meluap - luap, kerajaan yang tadbirurusnya cekap, pekerja yang serba boleh, persekitaran yang bersih, kadar jenayah yang rendah, hubungan sesama insan yang mesra, keluarga yang harmoni, politikus yang tidak rasuah, guru yang ihsan, murid yang berakhlak.

Bagaimana nanti melalui proses pendidikan, dapat kita zahirkan perubahan sikap; dari sikap tidak apa kepada sikap bersungguh - sungguh, dari sikap cukup makan kepada sentiasa inginkan kecemerlangan, dari pemikiran beremosi kepada pemikiran rasional, dari sikap berlebih kurang kepada sikap lebih tepat (precision society).

Cabaran Kedua

Melahirkan manusia yang bukan sahaja seimbang antara ilmu sains dan agama tetapi juga manusia yang mempunyai ciri - ciri Ulul Al Bab

Ibn Sina, Ibn Khaldun, al Khawarizmi, al Haytham dan Ibn Rushd adalah tokoh cendekiawan Islam yang mendapat pengiktirafan masing-masing sebagai pakar perubatan, ahli falsafah, Kimia, Matematik, sosiologi dan Optometrik. Namun di masa yang sama mereka juga terkenal sebagai tokoh agama terbilang.

Saya telah membentangkan perancangan saya untuk melahirkan golongan Ulul Al Bab, golongan yang mempunyai tiga ciri iaitu yang “Qur’anik“, yang “Ensiklopedik” dan yang “Ijtihadik“.

Cabaran ketiga

Melahirkan pelajar Terengganu yang bertaraf dunia.

Untuk melahirkan pelajar bertaraf dunia, dan bukan jaguh kampung, perkara pertama ialah mentaliti kita perlu bertaraf dunia. Infrastruktur, guru dan keseluruhan sistem perlu bertaraf dunia. Tetapi tiada gunanya infrastuktur kelas pertama sedangkan mentaliti kita masih kelas ketiga.

Cabaran Keempat

Keberanian untuk mencuba perkara baru (creative mindset)

Hal ini memerlukan kita bukan sekadar bertanya adakah telah kita lakukan semuanya dengan baik; tetapi lebih kepada “Perlukah kita membuatnya begini?”, atau “Adakah cara yang lebih baik dan berbeza?”

Di Negeri kita, tentangan terhadap perubahan dan terhadap perkara baru sangat tinggi (high resistance to change). Masalah ini berpunca dari “mind set” yang sukar diubah.

Semua bentuk kemajuan yang ingin dicapai oleh manusia perlu bermula dengan perubahan. Apatah lagi di zaman sekarang yang mana perubahan dalam bidang sains, teknologi dan perkembangan hidup masyarakat dunia berlaku dengan cepat sekali. Kita amat mengetahui bahawa tidak akan berlaku kemajuan jika kita terus berfikir dan melakukan kerja secara yang sama selama - lamanya.

Justeru kita perlu beranjak dan berubah untuk lebih maju dan berjaya. Kita perlu melakukan sesuatu yang berbeza untuk mendapat hasil yang berbeza. Seperti juga kita perlu bertindak luar biasa untuk mendapatkan hasil yang luar biasa.

Cabaran Kelima

Membudayakan konsep belajar sepanjang hayat (life long learning)

Di sebuah tempat di New York terdapat sebuah institusi ilmu yang bernama Chautauqua Institution. Ianya menawarkan lebih 2000  kursus jangka pendek sepanjang waktu musim panas. Untuk seisi keluarga. Anak bongsu boleh belajar muzik, anak sulung belajar komputer, Si Ibu boleh belajar memasak atau menjahit dan Si Ayah boleh belajar main golf. Saya sangat tertarik dengan konsep institusi ini yang bukan sahaja bercakap tetapi melaksanakan konsep belajar sepanjang hayat.

Saya melihat konsep ini perlu dibudayakan di Malaysia dan bercadang untuk melaksanakannya di Taman Ilmu Terengganu.

Taman Ilmu ialah sebuah kawasan seluas 700 hektar yang berkonsepkan pendidikan pelancongan (edu-tourism).  Terletak bersebelahan Universiti Darul Iman (UDM), Taman Ilmu bakal menempatkan sehingga 6 IPT yang bakal berkongsi kemudahan yang sama termasuk Pusat Pelajar, Masjid, Perpustakaan, Dewan Konvokesyen, Pusat Sukan dan Rekreasi,

Kelima - lima cabaran tadi iaitu :

  1. Melahirkan manusia yang beradab dan sarat dengan nilai - nilai murni
  2. Melahirkan manusia Terengganu yang bertaraf dunia
  3. Melahirkan manusia yang bukan sahaja seimbang antara ilmu sains dan agama tetapi juga manusia yang mempunyai ciri - ciri Ulul Al Bab
  4. Keberanian untuk mencuba perkara baru (creative mindset)
  5. Membudayakan konsep belajar sepanjang hayat (life long learning)

adalah antara cabaran yang pada pendapat saya penting dan perlu dihadapi.

Pendidikan perlu dirancang untuk menghala kepada pembangunan sebuah bangsa yang terbilang.  Langkah perjalanan yang digariskan tadi memerlukan pendidikan kita mencipta kandungan dan kaedah yang membolehkan pelajar-pelajar kita menguasai ilmu sains dan teknologi tinggi serta mengukuhkan pegangan nilai-nilai murni yang sejati.

Jika kita mengambil definisi beberapa istilah, seperti pendidikan yang dirujuk sebagai, “penitisan ilmu ke dalam diri insan” atau guru yang dimaksudkan dalam bahasa Sanskrit sebagai, “pemimpin jiwa manusia” , maka fahamlah kita bahawa pendidikan perlu menekankan dua aspek yang penting pada diri manusia, iaitu kekuatan ilmu dan penjernihan jiwa.

Saya yakin dan percaya dengan pengalaman dan ilmu yang kita perolehi, kita akan dapat menawan semua cabaran bagi merealisasikan agenda  Islam Hadhari Terengganu Bestari.

Marilah sama - sama kita memberi fokus, penekanan dan keutamaan kepada bidang ilmu dan pendidikan. Kalaulah ada bekalan yang ingin kita sampaikan buat generasi masa depan, biarlah ilmu dan pendidikan yang jadi bekalan. Kalaulah ada warisan (legacy) yang ingin kita tinggalkan, biarlah ilmu dan pendidikan yang jadi kenangan.

Inilah bekalan kita untuk masa depan yang lebih baik buat rakyat Negeri Terengganu. Inilah iltizam kita untuk merubah nasib bangsa dan membela nasib agama. Inilah  perjuangan kita dalam menegakkan ketuanan bangsa Melayu. Inilah Jihad kita, Jihad ilmu.